SCaT Fair Tawar Lebih 1,900 Peluang Pekerjaan Kepada Anak Sarawak
KUCHING: Lebih 1,900 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi penganjuran Sarawak Career and Training (SCaT) Fair, sekali gus membuktikan peranan program itu sebagai platform penting dalam menghubungkan pencari kerja dengan keperluan industri semasa.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, kejayaan SCaT Fair bukan sahaja dapat diukur melalui jumlah kehadiran pengunjung, malah melalui impak langsung yang diberikan kepada rakyat, khususnya golongan belia dan pencari kerja.
"Saya difahamkan bahawa lebih 1,900 peluang pekerjaan telah ditawarkan sepanjang program ini melibatkan pelbagai sektor seperti pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, minyak dan gas serta industri teknikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan SCaT Fair 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Ahad.
Datuk Dr Jerip Susil menambah, selain peluang pekerjaan, para pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan biasiswa, laluan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kemahiran dan peluang latihan industri secara terus daripada institusi pendidikan dan agensi berkaitan.
Ujarnya, program seperti ini amat penting dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran belia dan memastikan anak-anak Sarawak lebih bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda termasuk pelajar, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), graduan serta pencari kerja agar berani mencuba perkara baharu dan keluar daripada zon selesa bagi merebut peluang yang tersedia. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Hisyam Arif