Pesta Babulang Pemangkin Ekonomi, Perkukuh Pembangunan Komuniti
LIMBANG: Penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya masyarakat, malah semakin diiktiraf sebagai pemangkin ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri terus memberi penekanan terhadap pemerkasaan sektor kebudayaan kerana potensinya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, khususnya menerusi penganjuran acara berteraskan budaya dan warisan masyarakat.
Beliau berkata, pesta berkenaan yang bermula secara sederhana pada tahun 2004 kini semakin dikenali di wilayah utara Sarawak serta berjaya menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Sarawak, Sabah, Labuan dan Brunei.
“Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa pesta seperti ini sebenarnya memainkan peranan besar dalam menggerakkan ekonomi setempat.
“Peniaga kecil memperoleh pelanggan, pengusaha ‘homestay’ memperoleh pendapatan, manakala pengusaha makanan dan kraftangan mendapat pasaran. Golongan muda pula memperoleh peluang menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail semasa Majlis Malam Kebudayaan dan Pementasan sempena Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2026, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, peningkatan dari segi pengisian program, penyertaan komuniti serta kehadiran pelancong setiap tahun membuktikan bahawa Pesta Babulang dan Lumba Kerbau bukan lagi sekadar acara komuniti tempatan, sebaliknya telah berkembang menjadi produk pelancongan budaya negeri dan turut disenaraikan dalam Kalendar Tahunan Pelancongan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa masyarakat Bisaya memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan penganjuran pesta berkenaan menerusi pengamalan nilai perpaduan, kebersamaan dan semangat saling membantu.
“Kekuatan sebenar masyarakat bukan terletak pada jumlah, tetapi pada perpaduan, kerjasama dan semangat saling membantu. Perpaduan perlu terus dipertahankan agar komuniti dapat bergerak seiring dengan kerajaan dan terus menikmati pembangunan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mempertahankan nilai “Saganao, Sarunding dan Sapanau” yang selari dengan semangat “Segulai Sejalai” rakyat Sarawak bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan berterusan.
Hadir sama isteri ADUN Bukit Kota Datin Dayang Maimunah Awang Daud, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Presiden Persatuan Bisaya Sabah Datuk Ruslan Muharam, ADUN Batu Danau merangkap Penaung Persatuan Bisaya Sarawak Dato Paulus Palu Gumbang bersama isteri, Datin Mary Sindang, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak merangkap Penasihat Persatuan Bisaya Sarawak Datu Antonio Kahti Galis; serta Presiden Persatuan Bisaya Sarawak Datu Joseph Blandoi bersama isteri, Datin Julita Serudin.- EDISI UKAS