Gempa Bumi Di Mambong Belum Pada Tahap Membimbangkan, Masih Menunggu Laporan Penuh
KUCHING: Kejadian gempa bumi berukuran 2.9 pada skala Richter yang dilaporkan berlaku di kawasan Mambong baru-baru ini belum berada pada tahap membimbangkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, pasukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) memaklumkan bahawa bacaan tersebut merupakan kejadian berskala kecil yang lazim berlaku dan tidak menunjukkan sebarang ancaman serius pada masa ini.
Menurutnya, pihak berkaitan masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian memandangkan ia merupakan insiden pertama direkodkan di kawasan berkenaan.
"Kadangkala perkara seperti ini boleh berlaku dan ketika ini mereka (JMG) masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian gempa bumi tersebut.
"Jadi, kita masih belum mengetahui puncanya tetapi nasihat yang diberikan adalah supaya orang ramai tidak terlalu bimbang kerana bacaan gempa tersebut hanya pada skala 2.9.
"Di beberapa bahagian lain di dunia, kejadian seperti ini juga berlaku dalam keadaan yang sama.
"Apa pun, saya masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkaitan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan 'Sarawak Career And Training (SCaT) Fair' 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Ahad.
Tambahnya, kerajaan dan agensi berkaitan sedang memantau keadaan dengan rapi serta berharap kejadian tersebut tidak akan berulang pada masa akan datang.
Mengulas mengenai kerosakan infrastruktur disebabkan gempa bumi tersebut, Datuk Dr Jerip memberitahu, laporan mengenai kerosakan jalan akibat kejadian berkenaan telah diterima dan tindakan pembaikan akan dilaksanakan menggunakan Dana Kecemasan dan Bencana yang tersedia.
Ujarnya, kebanyakan jalan masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan di mana hanya beberapa jalan yang mengalami kerosakan dan bukan kesemuanya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Hisyam Arif