Aidiladha Perkukuh Perpaduan Masyarakat Majmuk Di Tatau
TATAU: Sambutan Hari Raya Aidiladha di daerah Tatau terus menjadi platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta agama yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati di Sarawak.
Mewakili Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, Tony Emat berkata, semangat kebersamaan yang ditunjukkan masyarakat pelbagai latar belakang ketika meraikan perayaan utama seperti Aidiladha merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri.
Menurut beliau, masyarakat Sarawak bertuah kerana dapat hidup dalam suasana harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Perpaduan bukan sekadar diucapkan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan.
“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, ia melambangkan komitmen untuk terus bersama rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Dagang, Tatau pada Sabtu.
Beliau turut berharap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang yang menjadi teras sambutan Aidiladha dapat terus memperkukuh hubungan silaturahim, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Tony memaklumkan bahawa Edwin telah menyumbangkan dua ekor lembu korban sempena Aidiladha tahun ini, masing-masing untuk Kampung Dagang Tatau dan Kampung Baru Tatau sebagai tanda sokongan dan kebersamaan dengan masyarakat Islam di kawasan berkenaan.
Menurut Tony, sebelum ini Ahli Parlimen Selangau turut menyampaikan sumbangan minuman ringan kepada penduduk di kedua-dua kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai usaha mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.
Sambutan tersebut berlangsung dalam suasana penuh muhibah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, Iban, Punan dan Beketan, sekali gus mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat di Sarawak.
Turut hadir, Ketua Kampung Dagang Tatau Rohana Abdullah, Ketua Kampung Baru Tatau Ahmad Mokhtar, ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat serta penduduk setempat.-EDISI UKAS