BINTULU: Yayasan Ikram Malaysia, dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan DUN Jepak dengan menyumbangkan 500 tilam serta mengagihkan 850 bakul makanan kepada keluarga yang terjejas sejak 28 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Dr. Zaharuddin Saidon, berkata pihaknya komited dalam membantu mangsa bencana di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
“Kami telah turun padang membantu mangsa banjir di Pantai Timur, kebakaran di Tawau, dan ribut di Semporna.
“Kali ini, kami berada di Bintulu kerana memahami beban berat yang ditanggung penduduk selepas banjir besar,” katanya ketika menyampaikan sumbangan di Balairaya Kampung Baru, Bintulu pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa Yayasan Ikram Malaysia bersedia meneruskan usaha bantuan sekiranya diperlukan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Yayasan Ikram Malaysia terhadap penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.
“Sumbangan 500 tilam ini amat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas.
"Kami juga mengagihkan 850 bakul makanan sebagai keperluan asas kepada mangsa banjir, bermula di Kampung Baru dan seterusnya ke kampung-kampung lain,” katanya.
Turut hadir dalam majlis pengagihan bantuan ini ialah Pemancha Awang Merais Penguran Ismail yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha murni ini.
Inisiatif ini diharapkan dapat membantu meringankan kesulitan yang dihadapi penduduk serta memastikan mereka mendapat keperluan asas dalam tempoh pemulihan selepas bencana.-EDISI UKAS