Kunjungan Alumni Kelas 1964 Perkukuh Hubungan Komuniti Bersama Majlis Bandaraya Miri
MIRI: Kunjungan alumni Sibu Methodist Secondary School Kelas 1964 ke Majlis Bandaraya Miri mencerminkan nilai persahabatan yang kekal utuh serta berperanan sebagai platform mengeratkan hubungan antara komuniti dan pihak berkuasa tempatan.
Lawatan yang berlangsung di Dewan Bandaraya Miri pada Khamis itu disambut oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Pujut, Adam Yii Siew Sang yang menzahirkan penghargaan atas kesudian rombongan berkenaan meluangkan masa mengunjungi bandar raya ini.
Menurut beliau, kehadiran alumni tersebut bukan sahaja satu penghormatan kepada pihak majlis, malah melambangkan semangat perpaduan yang terus kekal walaupun selepas puluhan tahun meninggalkan alam persekolahan.
“Miri merupakan sebuah bandar yang pesat dan progresif, yang terus berkembang melalui pembangunan mampan, tadbir urus berkesan serta penglibatan komuniti yang kukuh,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Beliau yang juga menekankan komitmen majlis dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam berkata, usaha berterusan dilaksanakan termasuk penambahbaikan infrastruktur bandar serta peningkatan kualiti hidup penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan lawatan seumpama ini membuka ruang perkongsian maklumat berkaitan inisiatif dan perancangan pembangunan bandar, di samping memperkukuh jaringan hubungan antara pihak majlis dan masyarakat.
Tambahnya, pihaknya berharap rombongan alumni memperoleh pengalaman bermakna serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di bandar raya ini.
Sementara itu, Ketua Delegasi alumni Kelas 1964, Datuk James Ling Suk Kiong dalam ucapan balas merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Miri.
Beliau turut memuji usaha pihak majlis dalam membangunkan Miri secara terancang dan berdaya maju, sekali gus menjadikannya sebuah bandar contoh yang moden dan inklusif.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad, bekas Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk David Teng Lung Chi serta Setiausaha Majlis Bandaraya Miri, Abdul Rahman Taupek.-EDISI UKAS