Parit Ditutup Jadi Parkir, Legakan Trafik di SJKC Chung Hua Tudan
MIRI: Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kemudahan dan keselamatan di kawasan sekolah terus dizahirkan melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas di SJKC Chung Hua Tudan.
Projek bernilai RM250,000 itu melibatkan pembinaan parit konkrit bertutup di Tudan Desaras 6B, sekali gus menukar kawasan berkenaan kepada ruang parkir baharu bagi kegunaan warga sekolah dan ibu bapa.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut telah menambah kira-kira 25 petak tempat letak kereta, sekali gus membantu mengatasi kesesakan terutama pada waktu puncak.
“Masalah kesesakan di sini agak serius sebelum ini, di mana kenderaan ibu bapa sering menghalang laluan jalan sehingga hanya separuh jalan boleh digunakan,” katanya ketika meninjau lokasi projek pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun lalu, satu lagi projek RTP bernilai RM300,000 telah dilaksanakan di kawasan berhampiran, yang berjaya menambah 35 petak parkir serta lima ruang khas untuk bas sekolah.
Dari segi skop pelaksanaan, projek terbaharu ini melibatkan pembinaan parit konkrit bertutup sepanjang kira-kira 80 meter dengan lebar dua meter, pemasangan penutup parit jenis grating bersaiz 600mm x 600mm, turapan jalan konkrit sepanjang 80 meter, serta pemasangan baharu dan kerja mengecat semula handrail di laluan pejalan kaki.
Sementara itu, pihak sekolah menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan yang telah lama diusulkan bagi menyelesaikan isu kesesakan di kawasan tersebut.
Guru Besar sekolah, Law Sie Kong berkata, keadaan lalu lintas kini jauh lebih teratur dan selamat berbanding sebelum ini.
Dengan siapnya projek tersebut, ia bukan sahaja meningkatkan kapasiti parkir, malah turut membantu melancarkan aliran trafik harian serta mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan kondusif.-EDISI UKAS