Solidariti Tanpa Batas: Pemimpin, Media & Pasukan Beruniform Bersatu Bantu Jurugambar Bernama
KUCHING: Dalam tugasan harian yang mempertemukan warga media, pemimpin dan badan uniform di sesuatu majlis seperti kebiasaan, situasi pada petang Jumaat sedikit berbeza apabila mereka ini bergandingan dalam membantu seorang rakan media, iaitu Razali Nordin yang kini menghadapi kesulitan selepas keadaan kesihatannya merosot ekoran pelbagai komplikasi penyakit.
Razali yang merupakan seorang Jurugambar di Bernama terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan bantuan pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Tindakan tersebut susulan beliau mengalami komplikasi penyakit termasuk masalah injap jantung, batu karang dalam hempedu, gangguan buah pinggang serta diabetes.
Dalam kesempatan itu, Naib Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Zulazhar Sheblee menzahirkan kepada pihak bomba atas tindakan pantas mereka.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, yang turut mengambil berat terhadap keadaan beliau.
Rakan-rakan media juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan, membuktikan semangat setiakawan dalam kalangan pengamal media masih utuh. -EDISI UKAS