Kebakaran Tanah Gambut di Kampung Batu Satu Terkawal, Tindakan Pantas Cegah Merebak
MIRI: Tindakan pantas pelbagai agensi berjaya mengawal kebakaran tanah gambut di Kampung Batu Satu, Kuala Baram sekali gus mengelakkan ia daripada merebak menjadi lebih serius.
Kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar jam 1 petang itu berpunca dari kawasan “pit area” yang menyebabkan api merebak di bawah permukaan tanah serta menghasilkan asap tebal, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keadaan tanah gambut serta kekurangan sumber air di lokasi menjadi antara cabaran utama kepada pihak bomba dalam mengawal kebakaran tersebut.
“Bomba terpaksa membawa tangki air sendiri, namun api di bawah tanah sukar dipadam sepenuhnya. Oleh itu, kita telah meminta kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk membantu,” katanya.
Menurut beliau, atas cadangan pihak bomba, jentera DID telah digerakkan bagi membina ‘fire break’ serta menggali kawasan tanah gambut yang terbakar bagi memadamkan api di bawah permukaan.
“Kerja-kerja telah dimulakan sejak petang Rabu dan setakat ini menunjukkan perkembangan positif. Keadaan hari ini juga didapati sedikit bertambah baik berbanding sebelumnya,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tinjauan di kawasan Tudan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah berhubung dengan Residen Bahagian Miri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian bagi mengadakan mesyuarat penyelarasan serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim kemarau.
Tambahnya, kejadian kebakaran dan jerebu bukan perkara baharu di Miri, khususnya ketika musim kering, justeru langkah pencegahan dan kewaspadaan berterusan amat diperlukan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau asap kepada pihak berkuasa.
Beliau turut mengingatkan penduduk, khususnya di kawasan kampung, agar sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk insiden kebakaran yang sebelum ini menjejaskan 10 buah keluarga di Kampung Pasir Lutong.
“Kerjasama semua pihak amat penting untuk membendung kebakaran serta mengelakkan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan, khususnya kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma,” tambahnya.-EDISI UKAS