1,878 Keluarga Terjejas Banjir Di Bintulu Terima Bantuan Kemanusiaan
BINTULU: Sebanyak 1,878 keluarga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menerima bantuan kemanusiaan daripada Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia dalam satu program yang diadakan di Dewan SJK Siong Boon, di sini pada Ahad.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang ini disertai oleh pelbagai pihak termasuk wakil Residen Bintulu, Jeffrey Jalong serta jurucakap yayasan, Chang Yii Yong.
Setiap keluarga menerima kad tunai bernilai antara RM1,500 hingga RM2,500, bergantung kepada bilangan penghuni dalam isi rumah mereka.
Kad tersebut boleh digunakan di mana-mana cawangan Bank Public bermula 27 Februari hingga 28 Mac untuk membeli barangan keperluan dan membaiki kerosakan akibat banjir.
Menurut Chang Yii Yong, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha yayasan untuk membantu mereka yang terjejas oleh bencana alam.
“Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kami terhadap mereka yang terkesan oleh banjir.
"Kami berharap ia dapat meringankan beban dan membantu mereka memulakan kehidupan semula,” katanya.
Seramai 227 sukarelawan telah terlibat dalam proses mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan melalui lawatan rumah ke rumah.
Penerima yang layak kemudian dihubungi dan dijemput mengambil bantuan mereka dalam sesi yang telah ditetapkan.
Selain bantuan tunai, yayasan ini turut menghulurkan sumbangan makanan, barangan keperluan dan membantu membersihkan kediaman mangsa banjir.
Mewakili Residen Bintulu Jeffrey Jalong, menyatakan penghargaan terhadap usaha yayasan dalam membantu komuniti yang memerlukan.
“Dengan adanya inisiatif seperti ini, saya berharap lebih banyak pihak tampil membantu mangsa bencana.
"Ini bukan sahaja meringankan beban mereka tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.
Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia telah lama aktif dalam pelbagai program bantuan bencana di seluruh negara, menekankan nilai kasih sayang, kemanusiaan dan perpaduan dalam setiap usaha mereka.-EDISI UKAS