Aidilfitri Perkukuh Perpaduan, Cadangan Naik Taraf Masjid Disampaikan
MERADONG: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Muhajirin, Taman Bintang, Bintangor bukan sahaja memperkukuh perpaduan komuniti, malah menjadi platform menyampaikan cadangan projek naik taraf masjid bagi keselesaan jemaah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, majlis seumpama itu penting dalam mengeratkan silaturahim serta memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Perayaan seperti Aidilfitri mencerminkan kekuatan masyarakat yang sentiasa mengamalkan nilai hormat-menghormati dan kebersamaan,” katanya ketika menghadiri majlis ramah tamah Aidilfitri di sini, pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan tinjauan awal bagi cadangan naik taraf Masjid Al-Muhajirin.
Menurutnya, projek itu penting untuk menyediakan kemudahan lebih selesa dan kondusif kepada jemaah serta menyokong aktiviti keagamaan dan komuniti.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan tersebut dapat diluluskan dalam masa terdekat demi manfaat bersama.
Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM2,000 sempena penganjuran majlis tersebut.
Majlis berlangsung meriah dengan kehadiran pemimpin tempatan dan penduduk setempat, mencerminkan semangat perpaduan yang utuh. -EDISI UKAS