Majlis Aidilfitri Perkukuh Perpaduan Masyarakat Pelbagai Kaum di Bintulu
BINTULU: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Masjid Daerah Bintulu pada Sabtu menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Majlis malam itu menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni, mencerminkan semangat muhibah serta toleransi yang terus subur dalam komuniti Bintulu.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Daerah Bintulu merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola, Pandi Suhaili serta Temenggong Haji Rosli Kamaruddin.
Penganjuran majlis ini menyaksikan penyertaan masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Iban, Cina serta etnik lain yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh kemesraan.
Sepanjang program berlangsung, para hadirin dilihat berinteraksi secara santai, bermaaf-maafan serta menikmati pelbagai juadah yang disediakan, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kejiranan dan semangat kekitaan di peringkat akar umbi.
Majlis ini dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Masjid Daerah Bintulu, Jawatankuasa Masjid Assyakirin Bintulu, Persatuan Anaq Vaie Bintulu, PBB Ranting Kampung Masjid serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid, Kampung Sinong dan Kampung Dato.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, malah berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh jaringan sosial serta memupuk semangat kerjasama antara masyarakat setempat.-EDISI UKAS