Infrastruktur Tanpa Feri Bantu Rakyat Hadapi Kenaikan Kos
SRI AMAN: Pembinaan jaringan jambatan di Sarawak membantu mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri, sekali gus melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, situasi ketidaktentuan global termasuk konflik antarabangsa boleh menjejaskan laluan perdagangan dan menyebabkan harga diesel meningkat secara mendadak.
“Nasib baik kita dah mula bina banyak jambatan. Batang Lassa sudah tiada feri, Baram dan Marudi juga tiada feri, dan tidak lama lagi Batang Lupar 1 juga tidak lagi menggunakan feri mulai Mei.
“Maknanya, apabila tiada feri, kita tidak bergantung kepada diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga 2026 di sini pada Ahad.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri terpaksa menanggung kos tinggi bagi penggunaan diesel untuk operasi termasuk penjanaan tenaga dan perkhidmatan feri.
Namun, dengan pembinaan jambatan seperti di Batang Lupar dan kawasan lain, rakyat kini dapat menggunakan laluan darat tanpa perlu bergantung kepada feri yang menggunakan diesel.
“Kalau kita tidak mempunyai pandangan dan persediaan awal, kita akan menghadapi kesukaran kerana feri menggunakan diesel,” katanya lagi.
Tambah beliau, langkah awal kerajaan dalam merancang pembangunan infrastruktur tersebut terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam mengurangkan beban kos sara hidup.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan antara perancangan di kawasan Sri Aman termasuk pembinaan dewan suarah baharu yang dilengkapi teknologi moden bagi penganjuran seminar, forum dan aktiviti komuniti.
Forum Ekonomi Lingga yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memperluaskan akses penduduk kepada peluang pembangunan, khususnya dalam sektor ekonomi digital, teknologi hijau, pertanian moden serta jaringan pembelajaran.-EDISI UKAS