Masa perjalanan Kuching–Sri Aman Bakal Dipendekkan Kepada Satu Jam 15 Minit
SRI AMAN: Tempoh perjalanan dari Kuching ke Sri Aman dijangka dapat dipendekkan kepada sekitar satu jam hingga satu jam 15 minit pada masa akan datang, berbanding kira-kira dua jam 30 minit ketika ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sasaran itu berdasarkan jarak laluan baharu sejauh 142 kilometer melalui Sejingkat, Samarahan dan Sebuyau yang akan disokong dengan pembinaan infrastruktur termasuk jambatan.
“Jawapan saya senang, dari Kuching melalui Sejingkat dan dengan siapnya jambatan Sejingkat terus ke Samarahan, ke Sebuyau hingga ke Sri Aman, jaraknya 142 kilometer.
“Kalau kita naik kereta pada kelajuan sekitar 90 kilometer sejam, maknanya kita boleh sampai dalam tempoh lebih kurang satu jam 10 hingga 15 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga 2026 di sini pada Ahad.
Tambah beliau, pengurangan masa perjalanan itu bukan sekadar anggaran, sebaliknya berdasarkan perancangan serta data sebenar laluan yang sedang dibangunkan.
Menurutnya, kemudahan tersebut dijangka mengukuhkan hubungan ekonomi antara Kuching dan Sri Aman, sekali gus merangsang pembangunan kawasan sekitarnya.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.-EDISI UKAS