Amalan Integriti Dalam Pentadbiran Penting Dalam Kehidupan Seharian
LIMBANG: Integriti bukan sekadar satu konsep, tetapi amalan yang perlu dihayati dan dipraktikkan dalam setiap aspek kehidupan.
Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi menegaskan bahawa integriti adalah asas kepada keimanan, ketaatan, dan ketaqwaan.
Menurut beliau, individu yang berintegriti bukan sahaja dipercayai dan dihormati tetapi juga menjadi pemangkin kepada masyarakat yang beretika dan bebas rasuah.
“Tanpa integriti, kita hanyalah jasad kosong yang mudah terpesong.
"Integriti harus menjadi pegangan hidup kita, baik dalam urusan kerja mahupun dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Integriti 2025 anjuran Pejabat Residen Bahagian Limbang di sini pada Jumaat.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa integriti bermula daripada individu sebelum berkembang ke dalam keluarga, masyarakat, dan pentadbiran negara.
“Setiap tindakan kita harus berpaksikan kejujuran dan amanah. Kita harus menolak rasuah, salah guna kuasa, dan sebarang bentuk ketidakjujuran yang boleh merosakkan sistem pentadbiran dan masyarakat,” tambahnya.
Sebagai simbol komitmen terhadap amalan integriti, majlis menyaksikan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Unus dan diikuti oleh semua hadirin.
Ini diikuti dengan Sesi Menandatangani Akuan Ikrar Bebas Rasuah, sebagai langkah rasmi memastikan pentadbiran Bahagian Limbang terus berpegang kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Hari Integriti 2025 ini bukan sekadar satu acara simbolik, tetapi satu peringatan bahawa integriti adalah tunjang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Dengan adanya komitmen berterusan, nilai-nilai ini dapat terus disemai dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan pentadbiran yang bersih, telus dan berwibawa.-EDISI UKAS