SMeC 2026 Tampil Dengan Format Baharu, Fokus Latihan Praktikal Media
KUCHING: Sarawak Media Conference (SMeC) 2026 bakal tampil dengan pendekatan lebih segar dan praktikal apabila memberi fokus kepada pembangunan kemahiran pengamal media, teknologi digital serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran kali ketiga itu akan diadakan pada 8 Julai depan dalam skala lebih padat menerusi persidangan sehari sebelum diteruskan dengan beberapa siri bengkel di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Tegas Digital Village.
Menurut beliau, pendekatan baharu tersebut diambil bagi memastikan kandungan program lebih relevan, interaktif dan mampu menarik penyertaan golongan muda khususnya pelajar universiti serta pengamal media baharu.
“Kali ini kita mahu memberi lebih fokus kepada bengkel yang lebih praktikal melibatkan golongan belia, pelajar universiti serta pengamal media.
“Selain topik teras media, kita juga akan menyentuh aspek keusahawanan, kecerdasan buatan (AI), digital, tadbir urus, etika dan peraturan berkaitan media,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan Insentif Khas kepada Persatuan Media Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abdullah berkata Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut merancang mengadakan bengkel khas kewartawanan pilihan raya sebagai persediaan menghadapi PRN Sarawak akan datang.
Katanya, bengkel tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada wartawan muda mengenai etika, garis panduan serta istilah penting yang sering digunakan sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurut beliau, ramai pengamal media baharu masih kurang memahami aspek tertentu berkaitan proses pilihan raya termasuk perbezaan daerah mengundi, pusat daerah mengundi, saluran serta jenis kesalahan di bawah peraturan pilihan raya.
Sehubungan itu, katanya, UKAS juga bercadang mewujudkan sebuah ‘Election Help Desk’ bagi membantu wartawan mendapatkan maklumat penting seperti profil calon, gambar dan informasi berkaitan PRN dengan lebih cepat dan tersusun.
“Kita mahu memudahkan urusan pengamal media kerana tidak semua organisasi mempunyai jumlah wartawan yang ramai untuk membuat liputan di kesemua 82 kawasan DUN di Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat negeri Sarawak turut akan diadakan dalam bentuk majlis makan malam selain penyampaian anugerah khas penghargaan Premier Sarawak kepada pengamal media yang berjasa kepada industri kewartawanan negeri.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Setiausaha Akhbar Kanan kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Samuel Simon dan Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) merangkap Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia, Ronnie Teo.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ibanez Jeffery