KUCHING: Usaha berterusan Sarawak dalam menangani ancaman rabies terus diperkukuh menerusi penganjuran Persidangan Rabies Asia (RIA) Rabies In Borneo (RIB) 2026 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Persidangan julung kali diperluas ke peringkat Asia itu menjadi platform penting menghimpunkan pakar, penyelidik, penggubal dasar, NGO serta pemimpin komuniti bagi membincangkan cabaran semasa, berkongsi pengalaman dan merangka penyelesaian praktikal dalam usaha membasmi penyakit berkenaan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan rabies merupakan penyakit yang boleh dicegah sekiranya orang ramai bertindak segera mendapatkan rawatan selepas digigit haiwan.
“Rabies sebenarnya boleh dicegah. Tidak kira seteruk mana gigitan, jika mangsa segera mendapatkan rawatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), nyawa masih boleh diselamatkan,” katanya semasa sidang media di Bilik Media, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.
Tegas beliau, kegagalan mendapatkan rawatan segera menjadi punca utama kematian, meskipun kes gigitan anjing dilaporkan tinggi.
Beliau memaklumkan, sebanyak empat kes kematian akibat rabies direkodkan di Sarawak tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak 1987 sebanyak 94 kes.
Bagaimanapun tegasnya, angka kematian sebenarnya boleh dielakkan sekiranya mangsa mengambil tindakan segera mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu katanya, Sarawak kekal komited mencapai sasaran sifar rabies menjelang 2030, namun mengakui cabaran besar termasuk pergerakan bebas haiwan merentasi sempadan, khususnya di kawasan berhampiran Kalimantan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha membanteras rabies tidak boleh digalas kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan pelbagai agensi, pemilik haiwan peliharaan serta masyarakat umum.
“Kerajaan sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan pendekatan menyeluruh merentasi jabatan dan kementerian, termasuk penglibatan aktif masyarakat,” jelasnya.
Sepanjang tiga hari persidangan, pelbagai pengisian akan diadakan termasuk sesi perancangan strategik, pembentangan utama, forum serta pembentangan kertas penyelidikan melibatkan pakar tempatan dan antarabangsa.
Antara topik utama termasuk perkembangan terkini usaha global ke arah penghapusan rabies menjelang 2030 serta perkongsian pengalaman negara lain dalam mengawal penularan penyakit itu.
Selain itu, Sarawak turut memberi penekanan kepada pelaksanaan program vaksinasi termasuk penggunaan vaksin oral (ORV) bagi anjing liar yang sukar dikendalikan.
Usaha tersebut dilihat penting dalam meningkatkan liputan imunisasi, khususnya di kawasan luar bandar dan berisiko tinggi.
Persidangan RIA 2026 diharap dapat memperkukuh kerjasama serantau serta mempertingkat koordinasi antara negara dalam usaha mencapai matlamat bersama membasmi rabies.-EDISI UKAS