DUN Sarawak Lulus Perbekalan Tambahan (2026) RM1.323 Bilion Perkukuh Pembangunan dan Kebajikan Rakyat
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) berjumlah RM1.323 bilion bagi memperkukuh agenda pembangunan negeri, kebajikan rakyat serta pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik kerajaan.
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi menampung keperluan tambahan kementerian dan jabatan di bawah Anggaran Perbelanjaan Biasa Tambahan Pertama 2026.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kepada Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak sebagai sumbangan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri.
“Sebanyak RM188 juta pula diperlukan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bagi pemberian diskaun 25 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik sebagai langkah mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup susulan konflik berterusan di Timur Tengah,” katanya ketika membentangkan RUU itu pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Menurut beliau, sejumlah RM90 juta diperlukan Jabatan Premier Sarawak termasuk RM40 juta bagi menampung semakan elaun Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diluluskan Kabinet pada 18 November 2025.
Katanya, baki RM50 juta lagi diperuntukkan bagi sewaan bangunan pejabat kerajaan.
Selain itu, sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bagi persediaan dan penyertaan kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menerima RM12 juta bagi persediaan dan penyertaan ke Para SUKMA XXII Selangor 2026.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima tambahan RM13.34 juta termasuk RM7.99 juta bagi peningkatan elaun tetap khas bulanan dan kemudahan perubatan untuk ahli majlis di 27 pihak berkuasa tempatan.
Katanya, sejumlah RM5.35 juta lagi diperuntukkan sebagai bantuan kewangan khas bagi pemberian diskaun 50 peratus sewaan pasar dan gerai di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, DUN Sarawak turut meluluskan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2026 berjumlah RM391 juta melibatkan lima subaktiviti dan tujuh sub-sub aktiviti pembangunan.
Menurut Datuk Amar Douglas, daripada jumlah itu, RM140 juta diperuntukkan kepada Jabatan Premier Sarawak termasuk RM100 juta bagi pelaksanaan pelbagai Projek Rakyat di seluruh negeri.
“Sebanyak RM40 juta lagi diperuntukkan bagi peningkatan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada kumpulan sasar yang layak bagi membantu meringankan kos sara hidup akibat konflik di Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut menerima RM50 juta bagi pembayaran kontrak kerja tindak balas kecemasan untuk infrastruktur awam yang rosak di Sarawak.
Selain itu, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima RM66 juta termasuk RM46 juta bagi pembayaran kontrak Projek Bekalan Air Serian Fasa II dan RM20 juta untuk cadangan loji rawatan air baharu Lundu di Bahagian Kuching.
Katanya lagi, sebanyak RM35 juta diperuntukkan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bagi pembayaran kontrak projek naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak.
Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak turut menerima RM100 juta bagi Dana Bantuan Pembangunan Khas untuk melaksanakan pelbagai program sosial dan projek pembangunan di seluruh negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini