Selangau Berpotensi Jadi Pusat Pertumbuhan Ekonomi Baharu
KUCHING: Selangau berpotensi muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu di wilayah tengah Sarawak menerusi cadangan pembangunan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di Pekan Selangau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata, pembangunan pesat yang sedang berlaku di kawasan itu membuktikan Selangau tidak lagi sekadar bandar persinggahan, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab ekonomi baharu.
“Penubuhan zon perindustrian kecil dan sederhana dapat menarik pelaburan dalam sektor seperti industri berasaskan pertanian, pemprosesan makanan, aktiviti hiliran kayu, logistik, keusahawanan digital, pembuatan ringan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Ir Christopher Gira menegaskan, langkah tersebut juga berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia di Selangau dan Tamin.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyambut baik pemilihan Selangau sebagai salah satu kawasan pembangunan industri penternakan khinzir di Sarawak yang diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai perkembangan semasa pelaksanaan projek tersebut termasuk peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, pengurusan alam sekitar, langkah biosekuriti, sistem pengurusan sisa serta kelestarian industri bagi jangka panjang.
ADUN Tamin itu turut menekankan kepentingan penglibatan komuniti tempatan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara lancar, bertanggungjawab dan harmoni.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang