Bazar Ramadan Sukma Ria 2025 Kembali, Tawar Pelbagai Juadah Berbuka
KUCHING: Bazar Ramadan Sukma Ria kembali lagi tahun ini dengan lebih banyak pilihan juadah berbuka puasa, menarik ribuan pengunjung ke E-Mart Sukma Ria sejak hari pertama dibuka pada Ahad lepas.
Dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), bazar kali ini menampilkan 70 gerai jualan, merangkumi 46 gerai makanan, 18 gerai minuman, serta enam gerai panggang yang menawarkan pelbagai hidangan enak bagi memenuhi selera pengunjung.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, menegaskan bahawa bazar ini bukan sekadar destinasi untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin kepada ekonomi setempat.
“Bazar ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan harian umat Islam sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga membantu merancakkan ekonomi setempat dengan memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan dalam persekitaran yang lebih kondusif dan teratur,” katanya ketika merasmikan Bazar Ramadan Sukma Ria 2025 di Taman Sukma pada Isnin.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran bazar ini, termasuk pihak berkuasa tempatan dan para peniaga yang komited menjayakan program tahunan ini.
Sebagai simbolik pembukaan, turut berlangsung sesi penyerahan topi dan apron kepada para peniaga yang disumbangkan oleh pihak E-Mart Sukma Ria.
Bazar Ramadan Sukma Ria 2025 akan beroperasi setiap hari dari 2 hingga 30 Mac, bermula jam 2 petang hingga 7 malam.
Dengan pelbagai pilihan makanan tradisional dan moden, bazar ini dijangka terus menjadi tarikan utama penduduk sekitar Kuching sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman dan Pengarah DBKU Ramzi Abdillah.— EDISI UKAS