12 Atlet Smart Taekwondo Academy Bintulu Bakal Berentap Di Taiwan
BINTULU: Seramai 12 atlet dari Smart Taekwondo Academy Bintulu bakal bertanding dalam Kejohanan Taekwondo Antarabangsa 2025 di Taipei.
Pasukan ini dijadualkan berlepas ke Taiwan pada 6 Mac dan akan kembali ke Malaysia pada 12 Mac.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming telah hadir menyempurnakan Majlis 'Flag-off' pasukan tersebut ke Taipei di Bintulu Kelab Taekwondo Smart pada Isnin.
Berucap dalam majlis tersebut, beliau berharap mereka dapat beraksi dengan penuh keyakinan, memberikan yang terbaik, dan merasai pengalaman yang berharga ini untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Menurutnya, kejohanan ini bukan sekadar platform untuk menguji kehebatan, tetapi juga peluang untuk memperkaya pengalaman dan meningkatkan skil dalam sukan taekwondo di peringkat antarabangsa.
"Saya yakin bahawa dengan persiapan rapi dan latihan intensif yang telah dilalui, atlet-atlet ini mampu bersaing dengan hebat serta mengharumkan nama Bintulu," katanya ketika ditemui semasa perasmian.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat juang dan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran di gelanggang.
Selain bersaing secara kompetitif, para atlet juga disaran untuk menjalin hubungan dengan peserta dari negara lain serta menjunjung tinggi semangat kesukanan.
“Tidak kira keputusan akhir, yang paling penting adalah keberanian untuk mencuba, kesungguhan dalam setiap perlawanan dan pulang dengan pengalaman yang bermakna,” katanya. -EDISI UKAS