Bahang Gawai Kian Terasa, Orang Ramai Giat Buat Persiapan Akhir
KUCHING: Bahang sambutan Hari Gawai Dayak 2026 semakin dirasai apabila orang ramai berpusu-pusu membuat persiapan akhir menjelang perayaan itu, sekali gus mencetuskan suasana meriah di sekitar pusat bandar raya ini.
Tinjauan UKAS mendapati premis yang menjual pakaian tradisional, aksesori serta makanan dan kuih-muih menerima kunjungan pelanggan yang tinggi, manakala peniaga turut giat meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat menjelang perayaan.
Bagi Ellistra Undi dari Kota Samarahan, beliau bersama suaminya, Gary Ho, mengambil peluang berkunjung ke Kuching bagi mendapatkan pakaian tradisional untuk sambutan Hari Gawai selain persiapan bagi perarakan yang bakal diadakan pada Jun nanti.
Menurutnya, persiapan keluarganya kini telah mencapai kira-kira 70 peratus dan dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
“Seperti biasa, sambutan Gawai diraikan bersama ahli keluarga yang tinggal berdekatan. Antara hidangan yang tidak pernah ketinggalan setiap kali Gawai ialah pansuh, penganan tradisional dan kuih jala.
“Apa yang paling saya suka tentang Gawai ialah dapat berkumpul bersama keluarga, menikmati makanan dan meluangkan masa bersama-sama. Harapan saya agar hubungan kekeluargaan terus erat dan kami dapat berkumpul lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, pembantu jualan Kedai Kek Lapis Mama Sue, Muhd Nur Fitry, 24, berkata permintaan terhadap kek lapis meningkat dengan ketara menjelang musim perayaan.
Menurutnya, pihak kedai telah membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Setiap kali musim perayaan, pelanggan datang tanpa henti. Kami memastikan kek sentiasa segar kerana ia dihasilkan setiap hari dengan pelbagai pilihan perisa.
“Setakat ini stok masih mencukupi kerana kami telah merancang jadual kerja dan penyediaan bekalan lebih awal sebelum perayaan tiba,” jelasnya.
Dalam pada itu, pembantu jualan pakaian tradisional, Syasya, 20, berkata sambutan pelanggan terhadap pakaian etnik, khususnya set pakaian Bidayuh, amat menggalakkan.
Katanya, orang ramai mula membeli pakaian tradisional sejak lebih seminggu lalu sehingga menyebabkan premis beroperasi lebih lama daripada kebiasaan.
“Pelanggan datang setiap hari untuk mencari pakaian tradisional dan ada kalanya kami berdepan kekurangan kakitangan. Namun, keadaan masih dapat dikawal dengan baik.
“Malah, ada hari kami terpaksa beroperasi sehingga jam 9.30 malam kerana jumlah pelanggan yang terlalu ramai,” ujarnya.
Bagi Inara Zia, 28, yang berasal dari Kapit dan kini bekerja di Kuching, sambutan Hari Gawai tahun ini agak berbeza apabila beliau tidak dapat pulang ke kampung halaman atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, walaupun tidak dapat bersama keluarga, beliau tetap mengirimkan wang perbelanjaan kepada ahli keluarga sebagai tanda ingatan dan sokongan menjelang perayaan.
“Sebelum ini saya memang selalu balik kampung untuk Gawai. Saya akan membeli pelbagai keperluan seperti makanan, minuman dan bahan membuat kek untuk persiapan keluarga. Namun tahun ini saya hanya mampu mengirimkan duit belanja kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, perkara yang paling dirinduinya ialah saat seluruh ahli keluarga dan saudara-mara berkumpul di rumah panjang bagi meraikan perayaan bersama-sama.
“Saya rindu suasana apabila adik-beradik dan saudara-mara dari jauh pulang berkumpul di satu rumah panjang. Saya berharap hubungan kekeluargaan akan terus berkekalan sampai bila-bila. Walaupun saya kini seorang mualaf, saya bersyukur kerana masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama sentiasa hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati,” ujarnya.-EDISI UKAS