Hari Wesak Perkukuh Nilai Toleransi, Perpaduan Masyarakat Sarawak
MIRI: Keharmonian antara kaum dan agama yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan aset paling berharga yang perlu terus dipelihara demi menjamin kestabilan serta kemajuan negeri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama telah sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, sekali gus menjadikan negeri ini contoh terbaik keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Menurut beliau, sambutan Hari Wesak bukan sahaja memperingati kelahiran, pencerahan dan kewafatan Buddha, malah menjadi platform untuk menghayati nilai kasih sayang, belas ihsan, kesederhanaan dan toleransi yang diajar sejak lebih 2,500 tahun lalu.
“Dalam dunia yang semakin mencabar dan penuh ketidaktentuan, ajaran Buddha yang menekankan keamanan, kebijaksanaan dan belas ihsan amat relevan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian serta dalam membina masyarakat yang harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wesak anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Orthodox Miri yang berlangsung di sini pada Ahad.
Dato Sri Lee menegaskan bahawa keharmonian yang dikecapi Sarawak hari ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha dan komitmen generasi terdahulu yang sentiasa mengutamakan perpaduan serta saling menghormati.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Sarawak First’ dalam memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus dipelihara, selain memperjuangkan hak serta kepentingan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri terus komited menyokong pembangunan semua agama menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), termasuk membantu pembinaan, penyelenggaraan dan penambahbaikan rumah-rumah ibadat bukan Islam sebagai tanda penghormatan terhadap kebebasan beragama serta perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM120 juta kepada UNIFOR bagi tahun 2026 membuktikan komitmen jelas Kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan rumah ibadat bukan Islam dan sekolah mubaligh di negeri ini.
Pada masa sama, Dato Sri Lee mengingatkan rakyat Sarawak agar terus mempertahankan budaya politik yang sederhana dan inklusif serta menolak sebarang fahaman ekstrem yang boleh menggugat perpaduan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penganut Agama Buddha Orthodox Miri atas sumbangan mereka dalam mempromosikan pendidikan agama Buddha, aktiviti kebajikan, khidmat masyarakat serta program kebudayaan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Beliau berharap persatuan tersebut dapat terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menyatukan masyarakat serta menyebarkan nilai kasih sayang, keharmonian dan persefahaman demi kemajuan Sarawak.
Sambutan berkenaan dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada pemimpin masyarakat, penganut agama Buddha dan penduduk setempat.- EDISI UKAS