Perpaduan Asas Pembinaan Bangsa Sarawak, Kunci Kestabilan Dan Kemakmuran
KUCHING: Perpaduan yang diamalkan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak menjadi asas penting dalam pembinaan bangsa serta menjadi faktor utama kepada kestabilan dan kemakmuran negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, amalan hidup harmoni yang diterapkan rakyat Sarawak membolehkan pelbagai kumpulan agama dan masyarakat berkumpul serta berinteraksi dalam suasana penuh hormat dan persefahaman.
Jelas beliau, kestabilan dan kemakmuran amat diperlukan terutamanya ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi disebabkan perang Asia Barat yang memberi kesan kepada semua rakyat negeri ini.
"Kita tidak berperang tetapi kerana konflik di Timur Tengah, melibatkan Amerika Syarikat, Iran dan pihak-pihak lain, kita semua turut menerima kesannya.
"Sebab itu kita memerlukan perpaduan, kestabilan dan keamanan dan kita perlu mempunyai kemakmuran, nilai murni dan banyak lagi.
"Sangat mudah sebab itulah semua ini merupakan sebahagian daripada pembinaan bangsa kita," katanya demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Wesak 2026 di Persatuan Buddha Sarawak pada Ahad.
Selain itu, Datuk Amar Dr Sim memberitahu, Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen terhadap keharmonian antara agama menerusi pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada institusi keagamaan serta pendidikan.
Menurutnya, lebih RM580 juta telah disalurkan kepada rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak 2017, manakala sebanyak RM90 juta diperuntukkan kepada gereja dan tokong pada tahun ini.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pendidikan yang turut memberi manfaat kepada institusi pendidikan yang dikendalikan badan keagamaan. -EDISI UKAS