Sarawak Pandang Serius Nilai Integriti, Uruskan Peruntukan Dengan Telus & Amanah
KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa memandang serius amalan nilai integriti, terutamanya dalam pengurusan peruntukan yang telus dan amanah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Kerajaan Sarawak telah mencapai pertambahan pendapatan yang luar biasa, sekaligus meningkatkan peruntukan pembangunan kepada agensi-agensi yang terlibat.
Tidak terkecuali katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak yang menerima pertambahan peruntukan daripada Kerajaan Sarawak bagi memulakan projek-projek pembangunan yang penting di seluruh wilayah ini.
“Bilangan kerja untuk DID semakin bertambah, bermakna peruntukannya akan bertambah saban tahun menjadikan tanggungjawab mereka lebih besar memandangkan lebih banyak tender dan projek akan diserahkan dan dijalankan pada masa yang akan datang.
“Maka itu, kepercayaan orang terhadap DID haruslah memuaskan yang mana memerlukan masa yang lama untuk dibina, namun boleh musnah hanya disebabkan beberapa individu yang tidak berintegriti.
“Ini meletakkan amalan integriti menjadi amalan harian kakitangan DID Sarawak kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan peruntukan yang besar dan projek yang banyak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti DID Sarawak 2025 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Datuk Amar Profesor Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak akan terus mengambil langkah proaktif dalam membanteras jenayah melibatkan integriti, di samping menyokong sepenuhnya program penerapan nilai ini terutamanya kepada penjawat awam Sarawak.
“Sebagai penjawat awam Sarawak, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita untuk terus memperkuatkan nilai integriti dalam menjalankan amanah dalam kita menuju wilayah maju menjelang 2030.
“Ini wajar memandangkan rakyat Sarawak juga memberi penekanan dan harapan yang tinggi terhadap pentadbiran yang bersih dalam kerajaan yang mana diperkuatkan lagi dengan Sarawak menjadi satu-satunya negeri dalam Malaysia yang mempunyai Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION).
“Ini membuktikan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk mengubah landskap sektor kerajaan untuk terus berintegriti,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, turut menyaksikan simbolik penyerahan Sijil MS ISO 37001: 2016 ‘Anti-
Bribery Management System (ABMS)’ daripada Pengarah Wilayah, SIRIM Berhad Sarawak Ts Shahrizan Mohammad Sahmoni kepada Pengarah DID Sarawak Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya, Pengarah UNION Wan Mohamad Wan Drahman, Timbalan Pengarah Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sarawak (SPRM) Wan Ahmad Nidzam Wan Omar serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS