Abdul Latif Family Team Rangkul Kejuaraan Bergaya Piala Perpaduan Asajaya
ASAJAYA: Abdul Latif Family Team muncul juara bergaya Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya Edisi Ke-58 Tahun 2026 selepas menewaskan Camutes FC 3-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Sambir, pada Ahad sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.
Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya Edisi Ke-58 Tahun 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila Abdul Latif Family Team dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Camutes FC 3-0 dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Sambir pada Ahad.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Sambir itu bermula rancak sejurus sepak mula simbolik disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Latif Family Team membuka tirai jaringan menerusi Mohd Hafiz Abu Bakar pada minit ke-26 sebelum menggandakan kelebihan pada separuh masa kedua hasil jaringan Mohd Adif Salim pada minit ke-54.
Izray Roslan kemudian melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 menerusi gol pada masa tambahan minit ke-60+, sekali gus mengesahkan kejuaraan milik pasukan itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Abdul Latif Family Team membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta piala johan dan pingat, manakala Camutes FC selaku naib johan menerima RM5,000.
Manakala, tempat ketiga kategori terbuka pula menawarkan hadiah RM3,000 berserta piala iringan dan pingat.
Anugerah Pemain Terbaik kejohanan dimenangi oleh Abang Mohd Haiqal dari Abdul Latif Family Team, manakala anugerah Penjaring Terbanyak menjadi milik Mohd Hadera dari Tarang FC.
Lebih istimewa, pasukan yang layak ke perlawanan akhir turut menerima jersi khas tajaan LEA Sports Centre berjenama ADIDAS, sekali gus menambah kemeriahan kejohanan.
Dalam pada itu, kategori Liga Veteran 40 tahun ke atas menyaksikan Kabitra FC muncul juara selepas menewaskan Kelab Bola Sepak Veteran Tambirat (Vettam) menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan 0-0 dalam masa sebenar.
Kabitra FC membawa pulang RM1,500 berserta piala dan pingat kemenangan, manakala naib juara menerima RM1,000 dan tempat ketiga bersama masing-masing RM500.
Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Sambir Bistari dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Samarahan serta Persatuan Bola Sepak Sarawak itu terus membuktikan statusnya sebagai antara kejohanan bola sepak komuniti paling berprestij di Sarawak.
Edisi kali ini menawarkan hadiah keseluruhan RM21,500 serta memperkenalkan kategori baharu Liga Veteran, yang berjaya menarik penyertaan 12 pasukan dan sambutan luar biasa daripada komuniti sekitar Samarahan dan Kuching. -EDISI UKAS