SUKMA 2026: Skuad Tenpin Boling Sarawak Tingkat Persiapan
KUCHING: Skuad tenpin boling Sarawak mengamalkan pendekatan berasaskan data serta penyertaan aktif dalam pertandingan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, Ogos ini.
Pengurus pasukan, Robert Lu Nam Min berkata, persiapan kini dilaksanakan menerusi sistem latihan berdesentralisasi yang membolehkan pemain berlatih di lokasi berbeza sambil mengekalkan pemantauan prestasi.
“Kami kini berada dalam fasa latihan berdesentralisasi, tetapi fokus utama adalah kepada prestasi. Kami mempunyai kira-kira sembilan pemain lelaki dan sembilan pemain wanita dalam senarai panjang, walaupun ia belum dimuktamadkan,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.
Ujarnya, skuad itu akan disaring secara berperingkat, bermula kepada tujuh pemain bagi setiap kategori sebelum dipilih enam lelaki dan enam wanita terbaik untuk mewakili Sarawak di temasya dwitahunan tersebut.
Robert Lu yang juga Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) menegaskan pemilihan akan banyak bergantung kepada prestasi dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa, selain pemantauan konsisten melalui sesi ‘roll-off’ bulanan.
“Sesi ‘roll-off’ bulanan ini amat penting. Jurulatih merekodkan data seperti peratusan ‘spare’ dan kadar ‘strike’, dan ini membantu kami menyusun kedudukan pemain dengan tepat,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada pendedahan pertandingan, atlet dalam senarai panjang dijadual menyertai beberapa kejohanan utama dari April hingga Jun, termasuk Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Thailand, diikuti Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia, Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Singapura serta Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Kejohanan ini penting untuk menilai bukan sahaja prestasi, tetapi juga aspek teknikal seperti reaksi bola, kelajuan dan keadaan lorong. Jurulatih teknikal kami akan bekerjasama rapat dengan pemain untuk memperhalusi peralatan dan pendekatan mereka,” katanya.
Latihan berpusat di Kuching dijangka bermula selepas fasa pertandingan, menjelang SUKMA yang dijadual berlangsung selama lapan hari bermula 15 Ogos.
Tenpin boling mempertandingkan 11 pingat emas dalam acara perseorangan, beregu, trio, berpasukan, masters dan beregu campuran.
Walaupun Sarawak mempunyai rekod cemerlang sebagai juara keseluruhan lima kali dalam sukan ini, Robert Lu mengakui kempen tahun ini bakal lebih mencabar susulan peralihan dalam skuad.
“Kebanyakan pemain kami kini adalah baharu dan muda. Ramai pemain SUKMA terdahulu telah menyertai pasukan kebangsaan dan tidak lagi layak,” katanya.
Beliau menambah bahawa Sarawak kini mempunyai perwakilan yang terhad dalam skuad pelapis kebangsaan berbanding negeri kuasa besar seperti Selangor dan Pulau Pinang, yang boleh mempengaruhi keseimbangan persaingan.
“Kami akan berdepan pasukan yang sangat kuat. Namun, tenpin boling sentiasa menjadi usaha berpasukan bagi kami, dan apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.
Tanpa menetapkan sasaran khusus, Robert Lu memberi bayangan bahawa atlet negeri mampu meraih sekurang-kurangnya empat pingat emas, bersama beberapa perak dan gangsa, untuk memastikan Sarawak mengekalkan gelaran juara keseluruhan dalam sukan tersebut.
“Untuk muncul juara keseluruhan, kami mungkin juga memerlukan negeri lain meraih pingat daripada pasukan lebih kuat. Itu akan memberi kami peluang yang lebih baik,” tambahnya.
Di luar persiapan SUKMA, ABAS tegasnya terus memperkukuh pembangunan bakat menerusi inisiatif akar umbi dan kejurulatihan, termasuk pertandingan antara sekolah serta kursus jurulatih untuk guru.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan memperluas bakat. Pada akhirnya, semua orang mahu menang, tetapi perkara paling penting adalah kekal fokus terhadap persiapan dan prestasi sendiri,” katanya. - EDISI UKAS