Isu Gangguan Bekalan Air di Sibujaya Perlu Penyelesaian Tuntas
SIBU: Isu gangguan bekalan air yang berlarutan di Sibujaya terus menjadi perhatian apabila penduduk setempat mengambil kesempatan menyuarakan rintihan mereka semasa kunjungan muhibbah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pada Sabtu.
Kunjungan sempena musim perayaan itu memberi peluang kepada penduduk untuk berkongsi kesukaran yang dihadapi dengan menggambarkan kepentingan kritikal penyelesaian infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Gangguan air telah menyebabkan rakyat hidup dalam kesusahan! Penduduk kini kebanyakannya terpaksa membeli air mineral di pasar raya untuk memasak.
“Bukan itu sahaja, apabila gangguan berlarutan, peniaga juga tidak dapat berniaga seperti biasa dan mata pencarian mereka terus terjejas.
“Lebih keterlaluan, saya turut menerima aduan bahawa walaupun tiada air, meter air masih terus berjalan dan caj tetap dikenakan. Tiada air tetapi meter tetap bergerak, ini logik apa sebenarnya?” ujar Dato Sri Tiong dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, menegaskan bahawa kekerapan gangguan tersebut kini dilihat sebagai isu mendesak yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan komuniti di seluruh Sibujaya.
Jelasnya, perkara tersebut sebelum ini pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada November 2023 sebagai usaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Justeru, beliau berharap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dapat memperincikan pelan tindakan yang efektif bagi memastikan kestabilan bekalan air dapat dicapai demi kepentingan penduduk dalam jangka masa panjang.
“Setakat ini saya difahamkan kumpulan yang paling terjejas ialah penduduk rumah kos rendah dan pangsapuri kos rendah.
“Kehidupan mereka sudah sedia sukar, kini keadaan bertambah buruk, seolah-olah rakyat didesak ke sudut yang tiada jalan keluar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan harapan penduduk yang ingin melihat penglibatan secara langsung daripada pihak kementerian, termasuk cadangan pertemuan dengan Menteri MUT Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi bagi meninjau sendiri situasi sebenar di lapangan.
“Masalah ini sudah terlalu lama berlarutan! Tidak boleh ditangguhkan lagi! Dan sama sekali tidak sepatutnya terus ditangguhkan!
“Rakyat berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bukannya membiarkan rakyat terus hidup dalam kebimbangan serta ketidakpastian, tidak tahu bila gangguan air akan berlaku lagi,” katanya.-EDISI UKAS