Tradisi Ringgo Raya Dipelihara, Kukuhkan Identiti Komuniti Kampung
SERABANG: Tradisi sambutan Ringgo Raya Aidilfitri terus dipelihara sebagai warisan budaya yang memperkukuh identiti serta perpaduan masyarakat Kampung Serabang.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata sambutan tersebut mencerminkan komitmen komuniti dalam mengekalkan nilai budaya yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, Ringgo Raya bukan sekadar perayaan, sebaliknya platform penting dalam memupuk semangat muafakat, kasih sayang serta hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Majlis seperti ini adalah manifestasi budaya kita yang menekankan keharmonian dan kebersamaan, selain menjadi ruang untuk kita saling bermaaf-maafan serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Pada masa sama, ia penting bagi memastikan tradisi turun-temurun ini terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ringgo Raya Aidilfitri Kampung Serabang di Dewan Komuniti Nek Unai, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, kekuatan sesebuah komuniti tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, malah turut dipengaruhi oleh hubungan sosial yang kukuh serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Datuk Richard Rapu menegaskan bahawa penganjuran program berunsur tradisi seperti Ringgo Raya mampu mengekalkan identiti masyarakat kampung yang terkenal dengan nilai saling mengenali dan membantu antara satu sama lain.
Menurutnya, program seumpama ini juga menjadi medium untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memahami keperluan komuniti secara lebih dekat.
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk setempat hadir memeriahkan majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni, termasuk penyampaian duit raya kepada kanak-kanak serta cabutan bertuah yang menceriakan para hadirin.-EDISI UKAS