175 Pelajar Tamat Pengajian Tingkatan Enam Di SMK Bau
BAU: Seramai 175 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau sesi 2023/2024 berjaya menamatkan pengajian mereka dan diraikan dalam satu majlis rasmi di Dewan Suarah Bau di sini pada Jumaat.
Majlis yang penuh bermakna itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep.
Dalam ucapannya, Dato Henry menyampaikan penghargaan kepada para pelajar atas usaha dan pencapaian mereka sepanjang dua tahun pengajian.
Menerusi pencapaian cemerlang ini, diharapkan para pelajar dapat terus maju dan menyumbang kepada masyarakat serta negara pada masa hadapan.
Beliau turut menekankan pentingnya kesungguhan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran di peringkat seterusnya, samada dalam dunia pendidikan mahupun kerjaya.
Dato Henry menambah, pendidikan adalah proses berterusan yang memerlukan pelajar untuk terus meningkatkan kemahiran serta beradaptasi dengan perubahan zaman.
Katanya lagi, dalam usaha menghargai kejayaan pelajar, pihak sekolah telah mengambil langkah proaktif dengan menyampaikan insentif kepada pelajar cemerlang sebaik sahaja keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan.
Selain itu, beliau turut memberi insentif kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di IPTA.
Berdasarkan rekod pencapaian sekolah, seramai 133 daripada 211 pelajar Tingkatan Enam kohort 2022/2023 telah menerima tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Dalam pada itu, tiga pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 4.00, manakala 66 pelajar lain mencapai PNGK 3.0 ke atas, menjadikan pencapaian akademik sekolah ini antara yang membanggakan.
Hadir sama, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Dr. Les Met, Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Edward Ngelai dan Pengetua SMK Bau, Dewis Lidek.-EDISI UKAS