SIBU: Inisiatif memperluaskan penggunaan sistem bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada penjaja kecil di Pasar Sentral Sibu dilihat sebagai langkah strategik bagi merancakkan ekonomi tempatan serta meningkatkan potensi jualan peniaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, ketika ini penggunaan bantuan tersebut masih tertumpu di pasar raya besar, sekali gus mengehadkan manfaat kepada peniaga kecil.
Menurut beliau, penyertaan penjaja sebagai peniaga SKAS membolehkan pelanggan membuat bayaran secara terus menggunakan bantuan berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan aliran pelanggan ke pasar tradisional.
“Apabila penjaja berdaftar sebagai peniaga SKAS, setiap pembelian boleh ditolak terus daripada akaun bantuan pengguna. Ini akan menarik lebih ramai pelanggan untuk berbelanja di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jualan Bendera Tahunan 2026 Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Sibu di Pasar Sentral Sibu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, usaha mengintegrasikan sistem berkenaan telah dimulakan melalui pembukaan kaunter pendaftaran khas hasil kerjasama Majlis Perbandaran Sibu bersama SPay Global sejak minggu lalu.
Langkah tersebut bertujuan membantu penjaja yang layak untuk berdaftar sebagai peniaga SKAS, sekali gus membolehkan mereka menerima transaksi bantuan berkenaan pada masa akan datang.
“Kita menyediakan kaunter khas bagi memudahkan proses pendaftaran. Ini adalah usaha bersama bagi memastikan penjaja tidak tercicir daripada arus pendigitalan ekonomi,” jelasnya.
Sementara itu, Chieng turut merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Sibu dalam melaksanakan kerja-kerja sukarelawan, khususnya ketika menghadapi situasi kecemasan seperti kebakaran dan banjir.