Kerajaan Sasar Isi 15,000 Kekosongan Jururawat Tahun Ini
SIBU: Usaha memperkukuh sistem kesihatan negara dipergiat apabila kerajaan mensasarkan pengisian 15,000 kekosongan jawatan jururawat bertauliah di hospital awam seluruh negara tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, langkah tersebut penting bagi menangani kekurangan tenaga kerja yang semakin ketara ketika ini.
Menurutnya, keperluan itu didorong oleh trend populasi negara yang semakin menua serta peningkatan kes penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung yang memerlukan pemantauan jangka panjang.
"Kita sering mendengar bahawa jururawat adalah tulang belakang sistem penjagaan kesihatan, dan kenyataan itu sememangnya benar.
"Peranan mereka melangkaui protokol klinikal; mereka menjadi penghubung antara rasa terasing dan rasa dimiliki (pesakit)," katanya ketika merasmikan Program Diploma Kejururawatan dan Makmal Simulasi Kejururawatan di Institut Methodist Pilley (MPI), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dato Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menegaskan bahawa kemahiran jururawat yang berasaskan empati serta kepekaan tinggi mampu mengubah suasana rawatan menjadi ruang penyembuhan yang lebih bermakna.
Dalam majlis sama, beliau turut memuji inisiatif MPI memperkenalkan program diploma berkenaan yang disifatkan tepat pada waktunya bagi memenuhi permintaan pasaran kerja.
Beliau juga menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPI bersama Pusat Perubatan Rejang dan Pusat Perubatan Borneo yang menawarkan tajaan penuh serta elaun kepada pelajar.
"Inisiatif ini merupakan contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara institusi pendidikan dan sektor swasta dapat memacu pertumbuhan, di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat dalam memperkukuh sistem kesihatan awam," tambah beliau lagi.
Diploma Kejururawatan di MPI kini dibuka untuk pendaftaran dengan pengambilan kohort pertama bagi program tiga tahun itu bermula pada 27 April 2026.
Program tersebut terbuka kepada lepasan SPM yang memperoleh sekurang-kurangnya kredit dalam Bahasa Melayu, Matematik (Matematik Asas/Moden/Tambahan) serta Sains (Sains/Biologi/Kimia/Fizik), di samping lulus Bahasa Inggeris dan satu subjek tambahan lain.
Diploma berkenaan turut diiktiraf di peringkat global serta mematuhi sepenuhnya garis panduan yang diakreditasi oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Malaysian Nursing Board (MNB).
Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Pengerusi Lembaga Pengarah MPI Paul Wong Hee Kwong, Timbalan Pengerusi MPI Dr. Peter Tang, Presiden Persidangan Tahunan Cina Sarawak Rev. Dr. Lau Hui Ming, wakil Pusat Perubatan Rejang Dr. Lau Ngiik Chuong serta wakil Pusat Perubatan Borneo Dr. John Chew.-EDISI UKAS