33 Penerima Terima Geran MRP Semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Tanjong Datu
LUNDU: Seramai 33 penerima daripada pelbagai organisasi komuniti menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM123,000 semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Tanjong Datu, pada Sabtu.
Pemberian dana ini sekaligus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan di peringkat akar umbi.
Penyerahan geran MRP Fasa 1/2026 itu melibatkan pelbagai penerima terdiri daripada dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), 22 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dua agensi tempatan.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha strategik dalam menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti, memperkukuh kapasiti organisasi akar umbi serta merancakkan pembangunan sosial di kawasan Tanjong Datu.
Beralih kepada majlis yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memeriahkan sambutan Aidilfitri di daerah ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri yang berkesempatan beramah mesra bersama tetamu serta menyantuni komuniti setempat.
Selain itu, penganjuran rumah terbuka berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim sempena Aidilfitri, malah turut berperanan sebagai medium penyampaian bantuan secara terus kepada rakyat.
Majlis berkenaan turut mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang utuh dalam kalangan masyarakat setempat, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa secara inklusif. -EDISI UKAS