Kerjasama Alumni, PIBG dan Sekolah Perkasa Kecemerlangan SMK Three Rivers
MUKAH: Permuafakatan erat antara alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kerjasama padu semua pihak mampu melonjakkan prestasi sekolah dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, kesepaduan tersebut turut terserlah menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri oleh Persatuan Alumni TRS yang berlangsung meriah dengan kehadiran warga sekolah, alumni serta PIBG.
"Program ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah menghimpunkan kembali bekas pelajar untuk menyumbang kepada pembangunan sekolah," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut, pada Sabtu.
Beliau yang juga Penaung Persatuan Alumni TRS berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa yang akan datang.
Dalam usaha menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada PIBG sekolah berkenaan.
Selain itu, sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada Persatuan Alumni TRS bagi pelaksanaan aktiviti alumni, manakala RM5,000 lagi disalurkan kepada Kumpulan Tarian dan Kebudayaan Sekolah melalui Biro Pendidikan Mukah.
Royston berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kepentingan warga sekolah.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan ceramah motivasi bertajuk ‘Kehidupan Selepas Sekolah: Membina Arah Tuju dan Masa Depan Gemilang’ yang disampaikan oleh penceramah, Amin Idris.
Turut hadir, Pengetua SMK Three Rivers Donny Dahlan, Pengerusi Persatuan Alumni TRS Simon Joseph Usau serta Yang Dipertua PIBG SMK Three Rivers Mohammad Nazir Besiri.-EDISI UKAS