Program Bubur Lambuk Eratkan Silaturahim Antara Masyarakat
KUCHING: Program Bubur Lambuk anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.4 Pantai Damai berlangsung dengan penuh semangat kemasyarakatan di Kampung Salak, pada Sabtu.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi yang turut hadir bagi menyantuni penduduk setempat serta menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada masyarakat.
Sebanyak 200 bekas bubur lambuk diagihkan kepada penduduk kampung sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan semangat Ramadan dan memperkukuh hubungan silaturahim dalam komuniti.
Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan serta keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
Program bubur lambuk ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu tradisi yang mengukuhkan ikatan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat.-EDISI UKAS