Lebih 5,000 Warga Kuching Sertai Juh Berambeh Sungkei 2025
KUCHING: Lebih 5,000 warga Kuching dari pelbagai latar belakang telah hadir untuk berbuka puasa bersama menerusi Program Juh Berambeh Sungkei 2025 yang berlangsung di Padang Merdeka di sini pada Sabtu.
Ini sekali gus menjadikan Program Juh Berambeh Sungkei 2025 sebagai simbol perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat di Sarawak.
Program itu turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Program anjuran Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) ini turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) serta Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Dato Sri Abdul Karim dalam ucapannya menekankan kepentingan meraikan kepelbagaian dan kekuatan komuniti yang bersatu padu.
“Kita datang daripada pelbagai kaum dan agama, tetapi kita tetap meraikan acara ini bersama. Ini adalah keunikan yang kita miliki dan saya berharap program seperti ini terus mengukuhkan perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau juga menyeru golongan muda untuk memainkan peranan dalam usaha kelestarian menerusi inisiatif seperti ‘Iftar in Unity dan Youth Towards Sustainability’.
“Anak muda perlu menjadi ejen perubahan dengan mengurangkan pembaziran makanan, menggunakan bahan mesra alam, serta menyertai aktiviti kebersihan komuniti,” tambahnya.
Ujarnya, program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi simbol keakraban dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat Sarawak. - EDISI UKAS