474 Anak Yatim Terima Sumbangan Duit Raya di Bintulu
BINTULU: Seramai 474 anak yatim di Bintulu menerima sumbangan duit raya berjumlah RM47,400 dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Bintulu di Masjid At-Taqwa RPR Sebiew, pada Ahad.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, bersama isterinya.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan komitmennya untuk terus menyokong pertubuhan kebajikan ini dalam membantu anak-anak yatim dan keluarga asnaf.
Beliau turut memaklumkan bahawa pusat khidmat PBB N67 Jepak bersedia menyalurkan bantuan seperti bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan.
“Kita juga menggalakkan anak-anak yang telah tamat sekolah untuk memohon bantuan bagi meneruskan pendidikan dalam bidang TVET atau kemahiran.
Ini dapat membantu mereka memperoleh masa depan lebih cerah dan keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi perancangan Lembaga Kebajikan Islam Bintulu dalam memperkasa ekonomi golongan asnaf dengan menggalakkan industri kecil di rumah seperti pembuatan belacan dan kuih-muih.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Bahagian Bintulu, Dato Haidar Khan dalam ucapannya berterima kasih kepada semua penderma yang telah menyumbang, membolehkan pertubuhan menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim secara berterusan sejak penubuhannya pada tahun 1991.
“Bukan hanya sempena Hari Raya, malah pada hari-hari biasa juga, pihak kami sedia membantu mana-mana anak yatim yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir, beberapa pemimpin masyarakat termasuk Penghulu Drahman Sisit, Penghulu Morshidi Tali, Penghulu Haliza Mudin, dan Pengerusi Masjid At-Taqwa, Abang Arshad Abang Anuar.-EDISI UKAS