Kisah Dedikasi Pengetua SMK Tatau Menjadi Inspirasi
TATAU: Selepas 35 tahun mengabdikan diri dalam dunia pendidikan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, Dr. Layang Ugek akhirnya menamatkan perkhidmatannya dalam satu majlis penuh gilang-gemilang pada Sabtu lalu.
Berjiwa pendidik sejati, Dr. Layang yang berasal dari Batu Bansu, Balleh Kapit, memulakan kariernya dalam bidang pendidikan sejak 1989 di SK Lepong Balleh sebelum berkhidmat di pelbagai sekolah rendah dan menengah di Bahagian Kapit serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit.
Kemuncak pencapaiannya adalah pada tahun 2018 apabila beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membuktikan bahawa pendidikan adalah perjalanan sepanjang hayat.
Sepanjang perkhidmatannya, Dr. Layang bukan sekadar seorang pendidik tetapi juga seorang pemimpin yang dihormati.
Beliau menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Emas Pembentang Terbaik Pertama PRIme Negeri Sarawak dan Anugerah Emas Pembentang Kolokium Pengetua dan Guru Besar (PGB) di Pahang pada 2023.
Namun, kisah yang paling menyentuh hati ramai adalah apabila beliau sanggup meredah banjir demi memastikan pelajar SMK Tatau dapat menduduki peperiksaan SPM pada Februari lalu.
Tindakan beliau tular di media sosial dan menjadi simbol keprihatinan seorang pendidik sejati.
Dalam ucapan persaraannya, beliau berpesan kepada para pelajar agar tidak berputus asa dalam menuntut ilmu kerana pendidikan mampu mengubah landskap kehidupan sesebuah keluarga.
Dengan persaraannya, SMK Tatau kehilangan seorang pemimpin yang komited, tetapi legasi dan semangatnya dalam dunia pendidikan pasti terus dikenang dan menjadi inspirasi buat generasi akan datang.-EDISI UKAS