Simunjan Tuan Rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan 2026
SIMUNJAN: Satu lawatan tapak telah diadakan bagi meninjau tahap kesiapsiagaan Simunjan sebagai tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan 1447H/2026M.
Lawatan yang diketuai Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad di Dewan Mesra Simunjan pada Khamis melibatkan Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan 1447H/2026M sebagai langkah awal memastikan segala persiapan berjalan lancar menjelang penganjuran majlis tersebut yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 7 Mei depan.
Daerah Simunjan yang diberi kepercayaan sebagai tuan rumah pada tahun ini dilihat komited dalam memastikan segala perancangan berjalan lancar, termasuk aspek logistik, teknikal serta kemudahan kepada peserta dan pengunjung.
Lawatan tapak berkenaan bertujuan menyelaras gerak kerja antara agensi terlibat di samping mengenal pasti keperluan penambahbaikan bagi memastikan penganjuran majlis dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna.
Majlis Tilawah Al-Quran ini dijangka menghimpunkan qari dan qariah terbaik dari seluruh Bahagian Samarahan, sekali gus menjadi platform dalam memperkukuh penghayatan al-Quran serta menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran program ini juga diharap dapat mempereratkan silaturahim antara komuniti setempat serta agensi kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan ummah. -EDISI UKAS