ADUN Simanggang Turun Padang Pantau Projek RTP, SADA
SRI AMAN: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis turun padang meninjau beberapa tapak projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Rabu.
Lawatan itu dimulakan dengan pemantauan projek menaik taraf jalan perkuburan di Kampung Samak, Ulu Undop, yang dilaksanakan di bawah RTP DUN Simanggang.
Projek tersebut melibatkan kos sebanyak RM500,000, dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman bertindak sebagai agensi pelaksana.
Selepas itu, Datuk Harden bersama rombongan meneruskan lawatan ke Rumah Siti, Paku Ulu, Undop bagi memantau hasil pelaksanaan kerja menaik taraf rumah panjang di kawasan berkenaan.
Projek di bawah seliaan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) itu melibatkan kerja penukaran atap Rumah Panjang Paku Ulu, Undop dengan kos keseluruhan sebanyak RM250,000.
Beliau kemudiannya meninjau tapak projek pembinaan Pos Kawalan Sempadan di Kampung Sungai Putong yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman dengan kini masih dalam proses penyediaan tapak dan struktur bangunan, di mana SADA memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi melaksanakan projek berkenaan.
Ketika meninjau tapak tersebut, beliau turut berkesempatan melawat tapak pembinaan Rumah Panjang Kampung Sungai Putong baharu serta cadangan menaik taraf jalan perkuburan di penempatan Rumah Jackson Micheal Jein.
Turut dilawati ialah tapak cadangan projek pembinaan jambatan konkrit baharu di Sungai Sebujok bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada yang sudah uzur dan tidak lagi selamat digunakan, khususnya sebagai laluan untuk memunggah hasil pertanian.-EDISI UKAS