Kuching City FC Fokus Tamatkan Musim Cemerlang, Pemain Baharu Bakal Diumumkan
KUCHING: Kuching City FC kini memberi tumpuan penuh kepada baki dua perlawanan terakhir musim ini sebelum memuktamadkan sebarang pembelian pemain baharu menjelang jendela perpindahan akan datang.
Pengerusi Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pasukan sedang berusaha untuk mengutip mata maksimum dalam perlawanan terakhir, terutama dengan saingan sengit dari Sabah dan Terengganu.
Dalam perancangan jangka panjang, beliau mengesahkan bahawa ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, akan terus membimbing pasukan dan telah pun mengemukakan beberapa cadangan nama pemain untuk memperkuatkan skuad.
“Fokus utama kami sekarang adalah memastikan pasukan meraih mata penuh dalam baki dua perlawanan. Kami perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri sebelum memikirkan strategi musim depan.
“Kita ada perancangan membawa balik anak Sarawak yang cemerlang dalam bola sepak untuk menyarung jersi Kuching City. Setakat ini, tiga pemain telah dikenal pasti untuk dibawa masuk. Namun, kita tidak mahu merombak pasukan secara drastik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025 yang berlangsung di Dewan Hikmah, Petra Jaya.
Sehubungan itu, beliau turut memberi bayangan bahawa pengumuman rasmi mengenai pemain baharu akan dibuat sebaik sahaja segala perincian dimuktamadkan.
“Sebaik sahaja semuanya selesai, kita akan umumkan secara rasmi. Ada beberapa kejutan menanti penyokong Kuching City,” tambahnya.
Dengan momentum yang semakin meningkat, Kuching City FC optimis untuk menamatkan musim ini dengan keputusan yang membanggakan dan terus membina pasukan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran musim hadapan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr). Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta tetamu lain.-EDISI UKAS