Projek Jalan Paloh–Tanjung Manis Jadi Pemangkin Pembangunan
PALOH: Rancangan pembinaan jalan yang bakal menghubungkan Paloh ke Tanjung Manis dilihat sebagai pemangkin utama dalam merancakkan pembangunan kawasan serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, projek berimpak tinggi itu bakal membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk di Kampung Paloh, Kedang dan Berangan, khususnya dari segi akses, ekonomi dan kesejahteraan.
“Ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi satu projek yang akan membawa seribu manfaat kepada rakyat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Tamah Aidilfitri N.42 Semop di Kampung Paloh dan Kedang, pada Jumaat.
Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menambah, projek sepanjang kira-kira 26 kilometer itu melibatkan pembinaan jalan raya serta sebuah jambatan merentasi Sungai Batang Belawai, dengan kos keseluruhan dianggarkan hampir RM800 juta melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Jelas beliau, projek berkenaan merupakan antara agenda utama yang diperjuangkan bagi memastikan kawasan terbabit dihubungkan dengan jaringan jalan raya yang sempurna, setanding dengan pembangunan di kawasan lain.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk membina semula Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri di Paloh yang kini tidak lagi selamat digunakan.
“Pendidikan adalah asas utama dalam melahirkan generasi masa depan. Justeru, pembinaan semula sekolah ini perlu disegerakan demi memastikan kesinambungan pembelajaran anak-anak di kawasan ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek lain yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Paloh, Kedang dan Berangan, termasuk projek benteng hakisan pantai, naik taraf jalan kampung serta pembinaan jeti nelayan.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat setempat dapat bersabar kerana semua projek yang dirancang akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada kekangan masa dan proses pelaksanaan.
“Kerajaan komited untuk memastikan setiap projek ini direalisasikan demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab.-EDISI UKAS