SRS Kampung Tambirat Lot Perkasakan Kawalan Keselamatan Komuniti
ASAJAYA: Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Tambirat Lot terus komited memastikan keselamatan penduduk setempat melalui aktiviti rondaan berkala yang dijalankan di sekitar kawasan tersebut pada Jumaat.
Seramai 20 orang peronda telah menyertai penugasan tersebut yang bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam.
Menurut laporan petugas, situasi keselamatan di kawasan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tambirat Lot berada dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang tempoh rondaan berlangsung.
Rondaan kali ini memberikan tumpuan khusus kepada beberapa aspek keselamatan utama, termasuk pemeriksaan penggunaan pelekat khas pada kenderaan penduduk bagi mengenal pasti kehadiran kenderaan luar.
Selain itu, pasukan peronda turut melakukan pemantauan rapi di kawasan 'laluan tikus' yang berisiko menjadi laluan pencerobohan serta melakukan pemeriksaan ke atas rumah-rumah kosong bagi mencegah aktiviti jenayah.
Inisiatif proaktif ini merupakan usaha berterusan komuniti dalam membantu pihak berkuasa mengekalkan keharmonian dan keselamatan kejiranan, khususnya di Bahagian Samarahan. -EDISI UKAS