BELADIN: Keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak terus terserlah apabila sambutan Aidilfitri diraikan bersama dalam suasana penuh muhibah dan saling menghormati.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor berkata, keunikan Sarawak yang dihuni pelbagai kaum dan agama menjadi kekuatan utama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Menurut beliau, sambutan perayaan seperti Aidilfitri bukan sahaja diraikan oleh umat Islam, malah turut disertai masyarakat kaum lain termasuk Cina dan Iban, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan.
“Keadaan ini menunjukkan kita hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati. Inilah kekuatan yang perlu kita kekalkan dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 N29 Beting Maro Zon Beladin di Dewan Masyarakat Kampung Beladin, Pusa pada Jumaat.
Beliau berkata, majlis ramah tamah ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim disamping menyambut hari kemenangan setelah sebulan kita berpuasa.
Tambah beliau, penganjuran majlis seumpama itu turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli turut menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, semangat saling hormat-menghormati yang dipamerkan dalam sambutan perayaan perlu terus dipupuk agar masyarakat kekal bersatu dan tidak berpecah belah.
“Semangat perpaduan ini perlu diterapkan dalam diri anak Sarawak supaya keharmonian yang kita kecapi hari ini dapat dikekalkan pada masa hadapan,” ujarnya.-EDISI UKAS