Majlis ‘Belangger Mija’ Semarakkan Aidilfitri Di Matu
MATU: Kemeriahan Aidilfitri terus disemarakkan dengan aktiviti ziarah oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato' Murshid Diraja Dr Juanda Jaya di sekitar kawasannya pada Jumaat dan Sabtu.
Bersama dengan isteri beliau, Datin Shanti Achmed, Dato' Dr Juanda turut menyantuni Majlis ‘Belangger Mija’, tradisi sambutan hari raya sejak sekian lama di Igan yang telah berlangsung dengan penuh meriah setiap tahun.
Sebagaimana kebiasaan, setiap tahun satu kampung akan menjadi tuan rumah secara bergilir-gilir melibatkan lima kampung di Igan iaitu Kampung Baru Dagang, Kampung Baru Ismail, Kampung Pulau, Kampung Tengah dan Kampung Sekerang Igan.
Majlis yang berlangsung bermula 3 hingga 5 Syawal ini diadakan setiap hari selama lima hari oleh setiap kampung di mana kampung yang menjadi tuan rumah pada hari tersebut akan menyediakan hidangan yang dihidangkan di atas jalan raya sepanjang kampung tersebut.
Mereka akan menyambut tetamu daripada kalangan ahli keluarga besar, jiran tetangga serta sahabat handai dari empat kampung yang lain di Igan.
Majlis ini bukan sahaja menghidangkan pelbagai juadah tradisional, malah menjadi wadah mengukuhkan hubungan kekeluargaan, mengeratkan silaturahim, serta meraikan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat dan dapat memupuk semangat gotong royong.
“Majlis seperti ini adalah lambang persaudaraan, saling bergotong-royong, menghidupkan satu budaya yang amat baik ditengah masyarakat kita,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Beliau turut berkata, penduduk di kawasan ini perlu bersedia menerima perubahan kerana impak pembangunan yang sedang pesat dilaksanakan ketika ini antaranya Jambatan Igan, Jalan Igan-Sibu serta beberapa projek yang sedang dilaksanakan akan merubah landskap dan kesibukan dikawasan ini nanti.
“Ambil peluang untuk meningkatkan ekonomi seperti menyediakan pelbagai produk makanan, minuman, kraftangan dan sebagainya kerana apabila siapnya kemudahan jalan perhubungan nanti, kawasan ini akan menjadi tumpuan laluan utama ke seluruh Sarawak,” katanya. - EDISI UKAS