SK Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri Bakal Dibina Baharu
PALOH : Penduduk Paloh menerima berita gembira dari Kementerian Pendidikan Malaysia kerana sebuah bangunan baru untuk Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh akan dibina bagi menggantikan bangunan sekolah sedia ada di mana telah diisytiharkan tidak lagi selamat digunakan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia Ir Yusuf Abd menyambut baik tentang perkara tersebut dan akan sentiasa berhubung dengan Kementerian agar ianya dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.
Tambahnya, hal ini termasuk untuk Projek Jalan Paloh-Kedang-Berangan ke Tanjung Manis dijangka bermula pada tahun 2026.
“Pada masa ini semua kerja-kerja di peringkat awal sudah hampir diselesaikan dan proses selanjutnya akan dilakukan.
“Sementara menunggu semua projek ini bermula dan siap, keperluan dan kemudahan di setiap kampung terbabit seperti naiktaraf jalan-jalan kampung akan turut dilaksanakan sebagai persediaan dan pelengkap kepada pembangunan khususnya projek jambatan serta jalan-jalan di luar bandar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Paloh pada Rabu.
Beliau menyeru agar rakyat terus bersabar dan memberi sokongan serta kerjasama supaya semua projek-projek terbabit berjalan lancar tanpa gangguan dan halangan.
Jelasnya, beliau bersama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan semua projek dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan dan kelewatan. -EDISI UKAS