MA63 Bukan Bahan Rundingan Di Parlimen, Hak Sarawak Terpahat Dalam Perlembagaan
KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah satu dokumen biasa yang boleh dipinda atau dirundingkan di Parlimen, sebaliknya ia merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat dan menjadi asas penubuhan negara Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, ia merupakan satu perjanjian antarabangsa yang wujud sebelum dan seterusnya membentuk Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang terpakai kepada Sarawak dan Sabah.
“MA63 bukanlah sesuatu yang boleh dirundingkan di Parlimen. Ia tidak boleh dipinda atau diabaikan melalui undang-undang persekutuan kerana hak Sarawak bukan datang daripada ihsan politik kerana ia dijamin oleh dokumen asas penubuhan negara ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tun Tuanku Jaafar sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Khamis.
Lidam dalam pada itu turut menambah bahawa hak-hak Sarawak tidak bergantung kepada budi bicara politik semasa, tetapi dijamin oleh dokumen-dokumen penubuhan negara yang sah dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi hak-hak yang telah dijamin dalam MA63. Hak ini bukanlah sesuatu yang diberikan oleh Parlimen, maka Parlimen juga tidak berhak untuk menariknya balik,” katanya lagi.
Antara perkara yang ditekankan termasuklah hak Sarawak untuk mengawal sumber asli, tanah, dan tadbir urus tempatan dan perkara-perkara yang dipersetujui sejak awal penubuhan Malaysia, namun masih menjadi perdebatan akibat pelaksanaan undang-undang persekutuan tanpa persetujuan Sarawak seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Beliau turut menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran naratif yang memesongkan sejarah serta memahami bahawa tuntutan Sarawak bukanlah tuntutan baru, tetapi penegasan terhadap janji yang telah dimeterai lebih 60 tahun lalu.
Pendirian tegas ini sekali lagi menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengubah atau menafsirkan semula MA63 tanpa persetujuan negeri-negeri asal pembentuk Malaysia, khususnya Sarawak dan Sabah, bukan sahaja tidak sah dari sudut perlembagaan, tetapi juga mencabuli semangat sebenar pembentukan negara ini. -EDISI UKAS