Sarawak Catat RM17.6 Bilion Pelaburan Pada 2024, Fokus Tenaga Hijau & Semikonduktor
KUCHING: Sarawak merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM17.6 bilion pada 2024, meliputi 376 projek dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, daripada jumlah itu, Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang RM13.5 bilion (76.6%) manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) pula berjumlah RM4.1 bilion (23.4%).
“Keseluruhan pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 7,800 peluang pekerjaan.
“Sektor perkhidmatan menyumbang RM7.6 bilion (43%), diikuti sektor pembuatan RM7.5 bilion (42.9%) dan sektor utama RM2.5 bilion (14.1%).
"Walaupun nilai pelaburan antara perkhidmatan dan pembuatan hampir setara, sektor pembuatan menjadi penyumbang utama kepada peluang pekerjaan dengan 6,430 pekerjaan (81.8%),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah Datuk Amar Awang Tengah, pelaburan utama termasuk produk kimia (RM2.9 bilion), elektrik dan elektronik (RM1.2 bilion), serta produk bukan logam (RM800 juta).
Katanyq, pada suku pertama 2025, sektor pembuatan Sarawak menerima pelaburan RM681 juta melalui 24 projek, dijangka mewujudkan lebih 900 pekerjaan.
“Pelabur terus yakin kepada Sarawak kerana kestabilan politik, sumber semula jadi yang kaya, lokasi strategik dan dasar mesra pelabur,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa lebih 65% daripada 115 projek pembuatan dan perkhidmatan berkaitan yang diluluskan tahun lalu telah berjaya dilaksanakan.
Tegas beliau, pelaburan dalam tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar, menarik minat pelabur dari Abu Dhabi, China dan Singapura yang kini menjalankan penilaian kebolehlaksanaan projek.-EDISI UKAS