Datun Julut dan Sape Lambang Warisan Dayak, Perlu Dipertahan
MIRI: Tradisi seni budaya Dayak seperti tarian Datun Julut dan alunan Sape perlu terus dipelihara dan dihargai oleh generasi baharu sebagai warisan berharga yang membentuk identiti komuniti Orang Ulu di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, berkata kedua-dua elemen budaya itu bukan sekadar persembahan seni semata-mata, tetapi merupakan simbol penghormatan terhadap sejarah dan warisan masyarakat pribumi.
“Datun Julut adalah tarian simbolik penuh kesyukuran dengan gerak tari yang halus, dihiasi bulu burung dan diiringi dengan alunan Sape suara jiwa tradisi yang menggetarkan spiritual kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Datun Julut dan Sape Tradisional 2025 yang berlangsung di Forum Cultural Centre, di sini, sempena sambutan Perayaan Gawai Dayak.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keindahan budaya ini mencerminkan keunikan Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan warisan turun-temurun.
“Oleh itu, tanggungjawab mempertahankannya perlu dipikul bersama, khususnya oleh golongan muda yang bakal mewarisi tanah dan tradisi ini.
“Tradisi budaya Dayak adalah kunci kepada identiti komuniti. Ia mesti dipertahankan dengan penuh hormat, agar tidak luput ditelan zaman,” tegas beliau.
Tambah Datuk Liwan, perayaan seperti Gawai bukan sekadar cuti tahunan atau acara sosial, tetapi sebuah jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui penghargaan terhadap budaya masing-masing.
“Melalui pertandingan ini, kita menyemarakkan semangat ‘Segulai Sejalai’ berjalan seiring dalam menyulam muafakat,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS