Pameran Pendidikan & Kerjaya Miri Tawar Lebih 300 Peluang Pekerjaan
MIRI: Lebih 300 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Pameran Pendidikan dan Kerjaya Kali Ke-5 Tahun 2026 di Stadium Tertutup Miri, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform strategik dalam membimbing hala tuju masa depan belia di utara Sarawak.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April itu turut menghimpunkan 40 institusi pendidikan serta 20 syarikat dan usahawan, menyediakan ruang komprehensif kepada pelajar dan pencari kerja untuk meneroka peluang pendidikan serta kerjaya secara langsung.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran pameran tersebut bukan sahaja membuka akses kepada maklumat pendidikan lanjutan, malah menyediakan peluang pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka di lokasi.
“Program ini memberi peluang menyeluruh kepada pelajar, lepasan sekolah dan ibu bapa untuk memahami laluan pendidikan, permohonan biasiswa serta hala tuju kerjaya dengan lebih jelas dan terancang,” katanya ketika meninjau persiapan pameran di Stadium Tertutup Miri, pada Rabu.
Menurut beliau, pameran pendidikan akan dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang, manakala pameran kerjaya berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh penganjuran.
Program anjuran bersama SUPP Cawangan Piasau Youth Section dan Miri Education Initiative Society (MEIS) dengan kerjasama MMS Education Centre, Pejabat Pendidikan Bahagian Miri serta PERKESO Miri itu dijadual dirasmikan pada 10 April ini.
Dalam pada itu, penyertaan agensi seperti Yayasan Sarawak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Affin Bank dijangka memberi nilai tambah kepada pengunjung melalui penyediaan maklumat berkaitan pinjaman pendidikan, bantuan kewangan serta inisiatif sokongan pelajar.
“Antara tarikan utama ialah pembukaan kaunter khas oleh Yayasan Sarawak bagi memberi penerangan mengenai inisiatif pendidikan tinggi percuma kerajaan Sarawak, sekali gus memperluas pemahaman masyarakat terhadap peluang yang disediakan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh mengakses jadual ceramah serta sesi perkongsian syarikat melalui imbasan kod QR yang disediakan, bagi mendapatkan maklumat awal dan mengikuti perkembangan semasa dunia pekerjaan.-EDISI UKAS